Monday, February 21, 2011

RIBA: Definisi, Jenis dan Hukum

En Altercronic
RIBA;Definisi, Jenis, dan Hukum
Definisi Riba
Dari segi bahasa, riba boleh ditakrifkan sebagai tambahan ataupun di dalam bahasa arab ziyadah. Dari sudut istilah, terdapat berbagai-bagai takrif yang telah dikeluarkan ulama. Walaupun terdapat sedikit perbezaan, secara dasarnya adalah sama. Menurut Ibnu al-Arabiy, Riba didefinisikan sebagai semua tambahan yang tidak disertai dengan ...adanya pertukaran kompensasi. Imam Suyuthi pula dalam Tafsir Jalalain menyatakan Riba adalah tambahan yang dikenakan di dalam muamalah, wang, makanan, baik dalam bentuk kadar mahupun waktu.
Daripada dua takrifan yang dibuat oleh ulama disini, bolehlah kita fahami bahawa riba ini merupakan satu bentuk eksploitasi di dalam transaksi di mana satu pihak itu telah dizalimi kerana dikenakan tambahan di dalam transaksi tersebut tanpa mendapat apa-apa balasan atau kompensasi. Oleh itu kefahaman kita mengenai hutang yang perlu dibayar lebih dari pokoknya adalah bertepatan dengan definisi ini. Ini adalah kerana, apabila seseorang itu meminjam, mengapa dia perlu membayar lebih daripada apa yang dipinjam? Lebihan itu merupakan eksploitasi yang dikenakan oleh orang yang memberikan pinjaman ke atas orang yang berhutang. Selain itu, terdapat lagi bentuk riba yang lain. Mari kita lihat bahagian-bahagian riba yang dipecahkan oleh ulama.

Jenis-Jenis Riba
Secara umumnya, Riba boleh dibahagikan kepada 2 jenis; Riba al-Fadhl dan Riba an-Nasii`ah. Walaubagaimanapun, terdapat juga cendiakawan yang membahagikan riba kepada 4 jenis iaitu; Riba al-Fadhl, Riba an-Nasii`ah, Riba al-Qardh, dan Riba al-Yad.
Riba an-Nasii`ah

Riba Nasii`ah adalah tambahan yang diambil karena penundaan pembayaran hutang di mana hutang itu sepatutnya dibayarkan pada tempoh yang tertentu, akan tetapi dilewatkan pembayaran hutang kepada tempoh yang baru. Misalnya, Adli berhutang dengan Ismail sebanyak RM 100 dan berjanji akan membayar hutang RM 100 itu dalam tempoh sebulan akan datang. Akan tetapi, apabila genap tempoh sebulan itu, Adli tidak mampu membayar hutangnya dan meminta untuk dilewatkan sedikit waktu membayar hutangnya. Oleh kerana penangguhan itu, Ismail meminta Adli membayar RM 120 kepadanya. RM 20 ini merupakan tambahan akibat kelewatan pembayaran hutang tersebut dan dikenali sebagi Riba an-Nasii`ah.

Riba al-Qardh.
Riba al-Qardh adalah meminjamkan wang kepada seseorang dengan syarat ada kelebihan atau keuntungan yang harus diberikan oleh peminjam kepada pemberi pinjaman. Maksudnya, jika Ahmad meminjamkan Ali RM 2000, dia meminta Ali membayar semula RM 2300. Riba an-Nasii`ah dan Riba al-Qardh secara dasarnya sama, akan tetapi perbezaannya ialah Riba an-Nasii`ah berlaku apabila si penghutang lambat membayar hutang, manakala Riba al-Qardh berlaku sama ada si penghutang lambat membayar hutang mahupun membayar hutang pada waktunya.
Di antara hadis yang melarang pengambilan Riba al-Qardh ialah;
Imam Bukhari dalam “Kitab Tarikh”nya, meriwayatkan sebuah Hadis dari Anas r.a bahwa Rasulullah s.a.w telah bersabda, “Bila ada yang memberikan pinjaman (wang mahupun barang), maka janganlah ia menerima hadiah (dari yang meminjamkannya)”.[HR. Imam Bukhari]
Hadis di atas menunjukkan bahwa peminjam tidak boleh memberikan hadiah kepada pemberi pinjaman dalam bentuk apapun, lebih-lebih lagi jika si peminjam menetapkan adanya tambahan atas pinjamannya.

Riba al-Fadhl
Riba al-fadhl adalah riba yang diambil dari kelebihan pertukaran barang yang sejenis iaitu seperti apa yang disebutkan dalam hadis; emas, perak, gandum, barley, tamar, dan garam. Dalilnya dari hadis yang diriwiyatkan oleh imam Muslim;

Maksudnya: “Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan berli, kurma dengan kurma, garam dengan garam, sejenis dengan sejenis, setara dengan setara, dan dan secara spontan. Apabila jenisnya berbeza, juallah sesuka hatimu jika dilakukan dengan spontan”.HR Muslim dari Ubadah bin Shamit r.a
Menurut hadis di atas, apabila melakukan transaksi dalam komoditi-komoditi di atas, hendaklah kita melakukannya tanpa ada tambahan dari mana-mana belah pihak, bererti sama timbangan dan kadarnya serta pertukaran tersebut dilakukanon the spot sekiranya dua barang yang ditukarkan itu sama jenisnya. Sekiranya berlainan jenisnya akan tetapi masih dalam kategori di atas, hendaklah pertukaran dilakukan secara on the spot sahaja tanpa perlu mengikut syarat-syarat persamaan dari kadarnya.
Walaubagaimanapun ulama berbeza pendapat dalam menentukan komoditi yang tertakluk dengan syarat pertukaran sama kadar dan secara spontan. Ulama Zahiriberpendapat komoditi yang tertakluk adalah hanya 6 komoditi yang disebutkan dalam hadis. Manakala mazhab fiqh yang lain berpendapat, pengharaman riba ini bukan tertakuluk kepada 6 komoditi itu sahaja, akan tetapi apa-apa sahaja komoditi yang mempunyai ciri-ciri yang sama dengan 6 komoditi tersebut. Ulama Malikiberpendapat pertukaran yang tidak sama nilainya antara emas dan emas serta perak dengan perak adalah dilarang kerana ianya termasuk dalam kategori wang (medium pertukaran). Mereka juga berpendapat komoditi yang tertakuluk kepada riba al-Fadhl ini adalah mana-mana komoditi makanan yang boleh disimpan berdasarkan analogi yang diambil daripada hadis. Ulama Syafie dan Hambalibersependapat dalam hujah ulama Maliki mengenai emas dan perak akan tetapi tidak bersependapat dalam hal komoditi-komoditi lain yang mana Ulama Maliki menegaskan komoditi makanan yang boleh disimpan termasuk dalam komoditi yang berkaitan dengan riba al-Fadl. Manakala Ulama Hanafi berhujah bahawa komoditi-komoditi yang boleh terlibat dengan riba al-Fadhl tidak hanya tertumpu dengan apa yang disebut di dalam hadis, akan tetapi boleh dikembangkan kepada semua komoditi yang kebiasaannya dijual menggunakan ukuran dan timbangan.

Riba al-Yadd
Riba al-Yadd ialah riba yang berlaku akibat penangguhan dalam pertukaran barang-barang. Contoh bagaimana riba ini berlaku ialah apabila Yusof menjual kereta kepada Syahmi. Mereka telah berakad bahawa Yusof menjualnya dengan harga RM 30 ribu. Mereka berdua berpisah dari majlis akad dan Syahmi telah menangguhkan pembayaran. Apabila Syahmi ingin membayar hutang pembelian kereta tersebut kepada Yusof, Yusof telah minta RM 32 ribu daripadanya, lebih daripada apa yang telah dipersetujui dalam akad.

Hukum Riba
Sudah Jelas bahawa Riba ini, tidak kira mana-mana jenis riba pun telah diharamkan oleh Allah s.w.t. Ini boleh dibuktikan melalui firman Allah s.w.t di dalam surah al-Baqarah ayat 275;

Maksudnya: Dan Allah telah menghalakan jual beli dan mengharamkan riba(275)
Allah s.w.t juga telah berfirman di dalam surah al-Baqrah ayat 276 dan 278;

Makusdnya: Allah memusnahkan riba dan menyuburkan sedekah, dan Allah tida menyukai setiap orang yang tetap dalam kekafiran dan selalu berbuat dosa.(276)



Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum diambil) jika kamu orang-orang yang beriman.(278)
Allah s.w.t juga telah mengisytiharkan perang terhadap orang yang mengamalkan riba di muka bumi ini melalui firmannya di dalam surah al-Baqarah ayat 279;

Makusdnya: Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), Maka Ketahuilah, bahwa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu. dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), Maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya.(279)
Hendaklah kita jelas bahawa pengharaman riba ini bukan sahaja terhadap orang yang mengambil riba sahaja, bahkan orang yang memberi riba juga dihukumkan berdosa. Ini adalah kerana, mengikut salah satu kaedah umum fiqh iaitu ‘Apa yang haram diterima haram juga untuk diberi’.
Riba Masa Kini
Aktiviti Riba masa kini cukup berleluasa dalam masyarakat moden. Ini adalah kerana sistem kewangan konvensional yang bertapak kukuh di dunia pada hari ini adalah berdasarkan sistem riba. Di Malaysia, keterlibatan secara langsung di dalam aktiviti riba seperti membuat pinjaman dengan bank konvensional, menyertai aktiviti pelaburan yang beunsurkan riba seperti Swish Cash dan banyak lagi haruslah dielakkan dan dijauhkan sama sekali. InsyaAllah di masa akan datang kita boleh berkongsi lagi mengenai bentuk-bentuk riba moden yang terdapat di Malaysia.
Rujukan:
1-Imam Ibnu al-‘Arabiy, Ahkaam al-Quran, juz 1, hal. 321
2-Imam Suyuthiy, Tafsir Jalalain, surat al-Baqarah:275
3-Dr. Muhammad Yusuf Saleem, An Introduction to thr Theoretical Foundations of Islamic Transactions, Kuala Lumpur, Ilmiah Publishers
4- Wahbah Zuhaili, diterjemah oleh Syed Ahmad Syed Hussain,(2005), Fiqh & Perundangan Islam, vol IV, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Thursday, December 23, 2010

Sejarah Dinar dan Dirham


Kesohoran dinar sebagai satu mata wang rasmi dalam sektor ekonomi sudah lama tersemat dalam lembaran sejarah Tamadun Islam. Dewasa ini komoditi ini seringkali dicanangkan sebagai instrumen alternatif dalam aktiviti ekonomi dunia semasa. Fakta ini adalah berasaskan kepada nilai intrinsik atau tersendiri yang diyakini boleh digunapakai secara lebih meluas serta konsisten. Namun demikian, masih ramai belum mengetahui dari mana dan bagaimana ia boleh berkembang sehingga menjadi satu mata wang utama dalam kronologi ketamadunan Islam.
Sekiranya dinar emas mampu dinobatkan sebagai mata wang utama pada ketika itu adalah tidak mustahil seandainya penggunaan komoditi ini boleh diperkenalkan semula sebagai mata wang alternatif pada alaf baru ini. Barangkali slogan
Nothing Beats Gold, Zero Inflation in 1400 years adalah amat berketepatan dan bersesuaian dalam menyatakan hakikat tersebut.
Terfikirkah anda semenjak zaman Nabi Muhammad SAW lagi, kita tidak pernah mendengar serta mengalami keadaan inflasi. Tetapi pada hari ini ungkapan tersebut seringkali “menjelma“ sambil disulami atau lebih sinonim dengan kelesuan ekonomi sejagat. Kenapa semua ini boleh berlaku? Jawapannya ialah mata wang konvensional yang tersedia ada tidak lagi berlandaskan pada sandaran emas secara mutlak. Justeru marilah kita mengimbas kembali keunggulan serta kegemilangan dinar emas semenjak bermulanya era ketamadunan Islam.
Masyarakat Arab Jahiliyyah pada ketika itu menggunakan dinar emas Heraclius Byzantine yang berasal dari negeri Syam manakala dirham perak Sasaniyah pula dari Iraq. Tatkala itu mereka tidak mempunyai mata wang tersendiri untuk melaksanakan urusniaga perniagaan dalam mahupun luar negara.
Penggunaan kedua-dua mata wang ini adalah bagi memudahkan urusniaga terutamanya pada masa yang melibatkan perdagangan utama di Syam pada musim panas manakala di Yaman pada musim sejuk. Namun demikian, keadaan mulai berubah apabila Nabi Muhammad SAW dipilih sebagai Rasul, dinar dan dirham telah dinaiktarafkan sebagai matawang rasmi urusniaga sektor ekonomi kerana terdapat keseragaman bagi tujuan memudahkan urusniaga.
Ketika ini jugalah reka bentuk berunsur Islam mula digunakan dalam penempaan dinar serta dirham. Pada tahun 18H atau 20H, Saidina Omar RA telah menambah pada dirham Sasaniyah beberapa elemen dengan tulisan khat Kufi seperti Bismillah, Bismillah Rabbi dan Alhamdullillah serta sesetengahnya Muhammad Rasulullah yang ditempa pada keliling gambar Kisra.
Beliau turut menetapkan piawaian bahawa 10 dirham bersamaan 7 dinar dan ini kekal digunapakai sehingga kini. Satu dinar mempunyai 91.6 peratus atau 22 karat seberat 4.25 gram manakala dirham ialah syiling perak seberat 2.975 gram.
Dalam rekaan ini ukiran pada permukaan mata wang adalah rekabentuk Islam yang khusus tanpa wujudnya elemen-elemen Byzantine dan Parsi muncul pada tahun 76H hasil cetusan idea Khalifah Abd al-Malik bin Marwan pada zaman Bani Umaiyyah. Senario ini turut dimangkinkan oleh perselisihan faham yang berlaku antara baginda dengan Raja Rom. Pada ketika itu khalifah Abd Al-Malik bin Marwan telah diktiraf oleh Ibn Jarir al-Tabari dan Ibn al-Athir sebagai perintis menempa dinar dan dirham dalam unsur-unsur Islam.
Aplikasi dinar tidak hanya berlegar di bumi Arab tetapi melangkaui kepada ketamadunan Andalusia. Kegiatan perdagangan berkembang pesat selama 700 tahun di Andalusia telah memangkin penggunaan dinar emas serta perak sebagai mata wang utama.
Pada tahun 716 M, umat Islam Andalusia telah mula menempa dinar emas dengan ukiran bahasa Arab serta ditulis “Muhammad Rasulluah” di samping mencatatkan nama Andalusia iaitu tempat tempahan dinar berserta tahun diperbuat. Di belakang dinar emas ini turut diukir dengan tulisan Latin yang bersesuaian dengan kehidupan masyarakat Islam Andalusia pada ketika itu.
Bukti sejarah juga menunjukkan bahawa setelah tamatnya pemerintahan Andalusia, masyarakat semasa pemerintahan Kristian masih meneruskan penggunaan dinar emas selama lebih 400 tahun. Dalam era moden ini, pada tahun 1992 dinar emas pertama Eropah kembali ditempah di Granada, Sepanyol yang sekaligus merupakan sesuatu peristiwa yang sungguh menarik.
Menurut analisa yang dibuat sepanjang kecemerlangannya dinar emas turut mengalami ketidaktentuan terhadap cabaran serta krisis semasa. Pada suatu ketika stok emas tidak mencukupi memandangkan siri peperangan semakin meruncing. Justeru perak dicampurkan tembaga menjadi matawang rasmi dan digunakan di Mesir serta Syam di bawah pentadbiran Bani Ayyub.
Penggunaan dinar serta dirham terus bertahan aplikasinya pada masa keagungan kerajaan Othmaniah Turki (1299M-1924M). Pada hari ini, nama dinar serta dirham masih digunakan sebagai mata wang rasmi di beberapa buah negara di Timur Tengah seperti dinar di Tunisia, Kuwait, Libya, Bahrain, Algeria, Jordan manakala dirham Di Emiriah Arab Bersatu, Qatar dan Maghribi.
Di Malaysia berkat pengalaman kelesuan ekonomi global pada 1997 dinar emas yang diperbuat daripada emas 916 telah mula dikembalikan kegemilangan sebagai medium penyimpan nilai yang tinggi, stabil, sentiasa berpotensi untuk meningkat nilai serta komoditi yang paling selamat.
Dalam konteks yang lebih luas dinar emas turut mampu dijadikan perantaraan urusniaga , gaji dan bonus pekerja, mahar dan hantaran perkahwinan, urusan haji dan umrah, zakat dan serta semua pembayaran perniagaan dalam dan luar negara bagi negara yang berminat.
Hal ini kerana dinar emas mempunyai nilai intrinsik atau tersendiri yang diterimapakai oleh masyarakat dunia. Nilai emas adalah stabil dan meningkat dari semasa ke semasa berbanding mata wang konvesional yang seringkali menjadi mangsa “serang hendap” para penyangak mata wang antarabangsa bagi mengaut keuntungan mudah dan besar.
Posted by RAKYAT MARHAEN at 12/24/2010 02:38:00 PM

Thursday, December 16, 2010

Dr Mahathir Galak Rakyat Jadikan Emas Sebagai Simpanan

Dr Mahathir Galak Rakyat Jadikan Emas Sebagai Simpanan

by Mohd Fadil Anuar on Thursday, December 16, 2010 at 10:16am
KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) — Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa orang ramai cuba menyimpan emas sebagai simpanan mereka berbanding mata wang kerana nilai emas lebih terjamin dan sukar untuk jatuh dengan nilai besar.
Bekas Perdana Menteri itu berkata nilai mata wang tidak terjamin kerana ia bergantung kepada pasaran tukaran mata wang dunia yang sentiasa berubah-ubah.
Menurut beliau, ada kalanya nilai mata wang akan jatuh dengan teruk apabila berlaku sesuatu krisis kewangan di sesebuah negara.
“Mata wang hanyalah sehelai kertas yang digunakan untuk mewakili nilai tertentu tetapi bukan nilai sebenar namun emas boleh mewakili nilai sebenar kerana ia sebuah logam berharga di seluruh dunia,”
“Simpanan emas juga lebih terjamin jika ingin menjualnya kerana harganya sentiasa meningkat dan ia boleh membantu orang ramai menghadapi inflasi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan produk emas Geneva Malaysia di sini malam ini.
Produk emas itu terdiri daripada jongkong pelbagai berat dihasilkan oleh Persatuan Persahabatan Malaysia-Arab Saudi (MSAF) dan Persatuan Usahawan Jongkong Emas Malaysia (GBEAM) yang dikeluarkan untuk memenuhi keperluan syariah.
MSAF dan GBEAM menyasarkan syarikat swasta dan orang ramai untuk mendapatkan produk berkenaan sebagai urusan dalam pelbagai transaksi terutamanya jualan dan belian.
Dr Mahathir berkata satu ketika dahulu, satu auns emas bernilai RM109.79 tetapi kini satu auns emas bernilai kira-kira RM4390.40.
Beliau berkata orang ramai boleh menyimpan emas dalam bentuk barang kemas yang mudah didapati di seluruh negara dan ia mampu untuk dimiliki.
– BERNAMA